MIRI : Berbekalkan usaha,seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mampu meraih pendapatan lebih RM2,000 sebulan hasil jualan sayur-sayuran yang ditanamnya dengan menggunakan kaedah hidroponik di halaman rumahnya di Tudan Desaras Fasa 6 di sini.
Ng Sza Liang,61, mengalami kecacatan kekal pada kedua-dua kakinya setelah terlibat dalam kemalangan industri di kem pembalakan kira-kira 29 tahun lalu, mula menanam sayur menggunakan kaedah hidroponik itu sejak setahun lalu.
Kesungguhan Ng membuahkan hasil apabila dia mampu menuai sekitar 300 kilogram (kg) sayur pelbagai jenis dalam tempoh sebulan.
“Sayur-sayuran yang saya tanam ini dijual pada harga RM8 sekilogram. Saya menjualnya di beberapa pasar raya berhampiran selain ada juga pelanggan yang datang sendiri ke rumah untuk membelinya,” kata Ng ketika ditemui di kediamannya.
Terdahulu, Ng menerima lawatan Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin.
Lawatan itu bertujuan meninjau perkembangan projek tanaman hidroponik yang diusahakan Ng yang telah diluluskan Ketua Menteri semasa mengadakan lawatan Tahun Baharu Cina ke rumah Ng, awal tahun ini.
Kerajaan Sarawak telah meluluskan geran bantuan sebanyak RM16,000 untuk membantu memperbesarkan lagi projek tanaman hidroponik berkenaan.
Ng mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meluluskan projek yang diusahakannya.
Katanya, kerja-kerja memperbesarkan projek tersebut telah siap dilaksana oleh Jabatan Pertanian beberapa hari lepas.
“Dengan pembesaran projek ini, saya yakin dapat mengeluarkan sekitar 500 kilogram sayur sebulan,” katanya.
Sementara itu, Ng memberitahu kesudiaannya memberikan khidmat nasihat dan tunjuk ajar kepada individu yang berminat menceburi aktiviti tanaman sayuran secara hidroponik yang mampu memberi pendapatan menguntungkan.
Oleh Liong Chai ling