
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi menerima kunjungan hormat daripada delegasi Brigadier Jeneral Sir Thomas Eastick di Astana Negeri, hari ini.
Pada kunjungan hormat ini, delagasi seramai 35 orang tersebut diketuai oleh cucunda Brigadier Jeneral Sir Thomas Eastick, Michael Eastick, telah menyerahkan dokumen asal ‘The 1945 Japenese Surrender’ kepada Tun Wan Junaidi.

Dokumen penting dan bersejarah ini merupakan dokumen yang diserahkan oleh pihak Jepun kepada tentera British, sekali gus melambangkan detik penting tamatnya pendudukan Jepun di Borneo pada 11 September 1945.
Brigadier Jeneral Eastick merupakan komander Pasukan Kuching yang menerima penyerahan diri Jeneral Jepun Yamamura 80 tahun lalu.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Gabenor Tentera Kuching selama enam bulan sebelum Sarawak kembali ditadbir secara aman oleh pemerintahan awam.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan selaku menteri pengiring, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Hadir sama Presiden National Malaya & Borneo Veterans Association Australia Inc, Paul A Rosenzweig OAM JP, Penasihat Warisan untuk Sarawak Tourism Federation (STF), Dato Lim Kian Hock, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datu Sherrina Husaini, Pengarah Muzium Sarawak, Nancy Jolhi dan tetamu kehormat lain. -JAPEN