
LUBOK ANTU: Pemantauan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Lubok Antu mendapati paras air di beberapa kawasan sekitar kawasan Lubok Antu dan Engkilili menunjukkan trend surut susulan banjir yang melanda daerah tersebut.
Pegawai APM Daerah Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel berkata menurut tinjauan anggotanya pada 12.30 tengah hari tadi, kawasan Sarang Bee kini pulih sepenuhnya dengan paras air sifar milimeter dan boleh dilalui semua jenis kenderaan.

Bagaimanapun, di Jambatan Nanga Kumpang, paras air masih direkodkan pada 0.46 milimeter, menyebabkan laluan tidak dapat digunakan oleh kenderaan ringan mahupun berat.
Keadaan itu katanya adalah berpunca daripada hujan yang berterusan di kawasan berkenaan.
Desem berkata pihaknya akan terus melakukan pemantauan berkala di lokasi berisiko dan mengingatkan orang awam agar berwaspada terhadap kemungkinan kenaikan paras air sekiranya hujan berpanjangan.
“Orang ramai dinasihatkan segera menghubungi APM atau talian kecemasan sekiranya memerlukan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Misi pemantauan melibatkan tiga anggota APM dengan sokongan logistik ambulans pacuan empat roda serta kelengkapan keselamatan termasuk jaket keselamatan, kasut kalis air dan peralatan pengukur aras banjir.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini daripada MetMalaysia, iHydro dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak.
Sebarang kecemasan boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Lubok Antu di 083-584639.
Oleh Adi Safarman