PELUMBA Ducati,Johann Zarco menjalani pembedahan pergelangan tangan kanan awal pagi semalam.
Zarco mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan bersama pelumba dari Itali, Franco Morbidelli.
Pelumba Perancis itu terbabit dengan kemalangan kontroversi di Grand Prix Austria Ahad lalu yang mana hampir mengancam nyawa juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi.
Jentera kedua-dua pelumba itu hampir menghentam pelumba Yamaha, Rossi yang memberi kesan kepada legenda Itali itu dan mendakwa dia menggigil seluruh badan dalam kejadian itu yang hampir membunuhnya.
Zarco yang menunggang jentera Ducati, yang akan terlepas perlumbaan Grand Prix Styrian minggu ini di litar Spielberg, dikatakan menjadi punca utama berlaku kemalangan itu.
“Saya sangat faham dengan perlumbaan yang kami sertai dan semua orang cuba melakukan yang terbaik untuk berada di depan, namum kita tidak harus melupakan bahawa sukan ini merbahaya dan keselamatan kita serta lawan kita adalah jauh lebih penting daripada pemburuan tempat,” catat Rossi di Instagram.
“Zarco tidak berniat untuk mencetuskan situasi kemalangan itu tetapi ia kekal sebagai antara kesilapan serius dalam penilaian banyak pihak.
“Ia menjadi salah satu perkara yang penunggang MotoGP tidak mampu menanggungnya, terutama ketika kelajuan tinggi hingga 310 kilometer sejam.”
Zarco berkata sebelum pembedahan dia berharap dapat kembali di litar semula selepas keputusan mengenai kecergasan untuk perlumbaan minggu ini diputuskan. AFP