KUCHING: Tokoh korporat tempatan, Dato Ibrahim Baki dilantik sebagai ahli Lembaga Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang baharu berkuatkuasa 17 Ogos 2020.
Petronas menerusi kenyataan yang disiarkan di laman webnya pada Rabu berkata, selain Dato Ibrahim Baki, dua lagi ahli Lembaga Petronas yang dilantik adalah Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Dato Razali Mohd Yusof.
Kata kenyataan itu, Lembaga Petronas yakin bahawa pengetahuan dan pengalaman ahli lembaga pengarah baharu ini akan menjadi tambahan berharga bagi syarikat.
Ibrahim merupakan tokoh korporat yang disegani dan profesional undang-undang terkenal dengan pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam sektor korporat dan syarikat berkaitan kerajaan.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LL.B) (Kepujian) di United Kingdom dan tamat Barrister-at-Law di Lincoln Inn, London sebelum memulakan kerjayanya pada tahun 1984 sebagai Pegawai Undang-Undang Petronas di Kuala Lumpur.
Pada 1985, beliau menjadi rakan pengasas dalam Messrs Idris Buang, Ibrahim Baki & Co, Advocates & Solicitors, Sarawak.
Sejak 1991, beliau terlibat dalam beberapa perniagaan dari pembangunan hartanah, perkapalan, logistik, perkhidmatan media dan pengurusan.
Manakala, Tan Sri Zaharah Ibrahim sebelum ini merupakan Ketua Hakim Malaya sehingga baru-baru ini memegang jawatan Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad sehingga Mei 2020.
Beliau berkelulusan dari Universiti Malaya di Kuala Lumpur dengan LL.B dan mempunyai pengalaman lebih dari 40 tahun dalam undang-undang dan kehakiman.
Zaharah pernah memegang pelbagai jawatan termasuk berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor dan Perangka Parlimen di Jabatan Peguam Negara sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada tahun 2004.
Beliau disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada bulan Julai 2006 dan Hakim Mahkamah Rayuan pada bulan April 2010, Hakim Mahkamah Persekutuan pada bulan Februari 2015 dan dilantik sebagai Ketua Hakim Malaya pada Julai 2018.
Dalam pada itu, Dato Razali Mohd Yusof adalah profesional perniagaan dengan pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam industri perlombongan, minyak dan gas.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kejuruteraan Perlombongan) dan memiliki MSc dalam Pengurusan Kejuruteraan dari Universiti Missouri.
Beliau memulakan kerjayanya sebagai jurutera projek dan selepas itu telah memegang pelbagai jawatan penting di beberapa syarikat swasta dan multinasional dalam negara dan kini memegang jawatan sebagai pengarah di beberapa syarikat.
Oleh Nur Ain Otsman