
MIRI: Malaysia sedang memberi tumpuan besar untuk memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai salah satu teras utama pembangunan negara menjelang 2030.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang sedang dirangka, kerajaan memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan penyertaan belia dalam bidang TVET, memperkukuh kerjasama dengan industri serta memastikan sistem latihan sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi semasa.
“TVET bukan lagi laluan kedua, tetapi kini merupakan pilihan utama yang menjamin masa depan belia dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Hari Kerjaya TVET Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) 2025 Zon Borneo di Permy Mall petang tadi.
Menurut Chiew, kerajaan melalui Majlis TVET Negara (MTVET) telah menyelaras ekosistem TVET agar lebih tersusun dan berkesan dengan kerjasama rentas kementerian, melibatkan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pengajian Tinggi serta pelbagai agensi lain.
Beliau berkata, Malaysia juga berhasrat muncul sebagai hab TVET serantau dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 serta pendigitalan ekonomi global.
Beliau turut menyatakan bahawa program kerjaya hari ini melibatkan kerjasama rapat dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui inisiatif MyFutureJobs selain penyertaan majikan dari pelbagai sektor yang menawarkan peluang pekerjaan kepada belia.
“Hubungan strategik ILKBS dengan pihak industri bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran pelajar, malah memastikan kurikulum dan latihan sentiasa dikemas kini agar relevan dengan keperluan semasa,” katanya.
Beliau menggesa pelajar dan graduan memanfaatkan sepenuhnya platform Hari Kerjaya TVET ILKBS sebagai peluang membina jaringan profesional, meningkatkan keyakinan diri dan memulakan perjalanan kerjaya dengan lebih mantap.
Program anjuran IKBN Miri dengan kerjasama IKBN Kinarut itu dihadiri wakil agensi kerajaan, rakan industri, pelajar serta orang awam. Oleh Liong Chai Ling