LUNDU: Tanjong Datu, kini giat mempromosikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara berterusan sebagai salah satu persiapan dalam menghadapi Pilihan Raya.
Ahli Dewan Undangan Negerinya (Adun), Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu berkata pasukannya sekarang adalah kreatif dan berkerja keras kerana ini pertama kali mereka menggunakan logo GPS.
“Logo ini masih belum ramai orang tahu, namun sekarang makin di kenali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika rombongan Timbalan Speaker DUN Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Mulu Dato Gerawat Gala ke Pusat Khidmat Tanjong Datu semalam.
Jamilah berkata beliau akan memastikan bendera GPS diagihkan kepada setiap rumah.
“Di samping itu, saya menyediakan juga baju, topi, tuala, payung, penutup muka, magnet peti sejuk, pelekat dinding dan juga kereta dan juga sticker untuk kontena makanan agar rakyat dapat melihat logo parti yang akan mewakili Kerajaan Sarawak pada Pilihan Raya kali ini,” jelas beliau.
Beliau menambah, kumpulannya juga sentiasa turun padang ke akar umbi dan berjumpa penduduk kampung dan membuat program bersama mereka di samping memperkenalkan logo GPS.
“Ibarat tak kenal maka tak cinta.
“Dengan mengenali logo parti GPS dengan sendirinya rakyat akan jatuh cinta dengan parti yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat Sarawak iaitu parti GPS,” tegasnya.
Di samping itu, taklimat ringkas Pilihan raya oleh Penerangan PBB Tanjong Datu turut diadakan.
Rombongan juga turut dibawa melawat mercu tanda Daerah Lundu di Town Square Lundu, Dewan Serbaguna Mahligai Gading Lundu, Pantai Pugu dan Kampung Pugu Lundu. Lawatan yang sepatutnya diteruskan ke CENTEX, Medan Selera, Majlis Daerah Lundu manakala ke Perkarangan Gunung Gading Lundu terpaksa dibatalkan kerana hari hujan.
Hadir sama, Naib Ketua Cawangan PBB N3 Tanjong Datu, Pemanca Benjamin Gersit Jais, Setiausaha Cawangan, KR Abdul Razak Abdul Wahab. Ketua Pergerakan Wanita, KR Fatimah Abdullah dan Ketua Pergerakan Pemuda, Azizul Annuar Pehin Sri Haji Adenan.
Oleh Alexandra Lorna