
COLOMBO: Sebanyak 15 maut apabila sebuah bas yang membawa pelancong tempatan terjunam hampir 1,000 kaki (300 meter) ketika melalui kawasan perbukitan ladang teh di Sri Lanka, menurut polis pada Jumaat.
Kemalangan berlaku semalam di kawasan pergunungan Ella, sekitar 130 kilometer ke timur ibu negara, Colombo. Seramai 16 penumpang lain turut cedera dalam kejadian tersebut.
Menurut pihak berkuasa, kumpulan pelancong itu dalam perjalanan pulang selepas bercuti di kawasan tanah tinggi yang sejuk apabila bas berkenaan melanggar sebuah kenderaan lain, merempuh penghadang jalan dan terjunam ke lereng bukit.

Insiden ini merupakan kemalangan paling buruk sejak Mei lalu, apabila 23 penumpang maut dalam nahas bas di Kotmale.
Sri Lanka, sebuah negara yang mempunyai 22 juta penduduk, merekodkan purata 3,000 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap tahun.
Jalan berliku di pulau itu turut dianggap antara yang paling berbahaya di dunia. – AFP