
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Induk sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025 Peringkat Sarawak di Astana Negeri, hari ini.
Kunjungan hormat diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) selaku Menteri Bertanggungjawab Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Dalam kunjungan tersebut, Jawatankuasa telah menyampaikan warkah jemputan rasmi kepada Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah bagi menghadiri sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025 Peringkat Sarawak yang akan diadakan pada hujung minggu ini.
Dua acara utama akan dilaksanakan iaitu Majlis Kesyukuran pada 4 September 2025 (Khamis) pada 6.00 petang di Masjid Jamek Kuching dan Majlis Perhimpunan serta Perarakan Sambutan Maulidur Rasul pada 6 September ini (Sabtu) bermula 7.00 pagi di Padang Merdeka.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut dijemput untuk menyertai perarakan sempena sambutan tersebut sebagai tanda kebersamaan dalam menghayati perjuangan dan ajaran Rasulullah SAW.
Dalam kesempatan itu, Tun Wan Junaidi menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Induk atas usaha murni menganjurkan sambutan yang bukan sahaja memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, malah berperanan memperkukuh ukhuwah dan perpaduan ummah di negeri ini.
Turut hadir Mufti Sarawak Sahibus Samahah Datu Kipli Yassin, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi, Pegawai Daerah Kuching Zaidi Sarkawi serta Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Sahibul Fadilah Ustaz Mual Suaud.