
SARIKEI: Sebanyak 22 badan bukan kerajaan (NGO) dari kawasan Meradong telah menerima sumbangan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Pusat Khidmat Parlimen Sarikei.
Sumbangan cek tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, yang juga merupakan Ahli Parlimen Sarikei serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, pada majlis yang diadakan semalam.
Katanya, sumbangan tersebut merupakan sokongan berterusan kepada NGO tempatan yang memainkan peranan penting dalam memperkasakan komuniti melalui aktiviti kemasyarakatan, sukan, keselamatan dan kebajikan.
“Saya percaya NGO merupakan tulang belakang kepada keharmonian masyarakat. Sumbangan ini adalah sebagai tanda sokongan terhadap usaha mereka membina perpaduan serta memupuk nilai positif dalam kalangan rakyat,” katanya.
Tiong Sii turut menegaskan komitmennya untuk terus menyalurkan sumbangan kepada NGO yang aktif dan berwibawa dalam menjalankan program bermanfaat.
“Saya berharap peruntukan MRP ini digunakan dengan baik dan semoga ia memberi impak positif kepada semua NGO yang menerima MRP.
“NGO merupakan rakan strategik kerajaan dalam menangani pelbagai isu dan cabaran di hadapi oleh setiap lapisan masyarakat.
“Saya sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan serta berkerjasama dengan NGO pada masa akan datang,” katanya.
Oleh Earl Anek