MIRI: Pemasangan lampu isyarat dan pelebaran jalan di simpang tiga Jalan Riam -Jalan Kampung Lopeng Tengah 1 di sini, diharapkan dapat melancarkan pergerakan lalu lintas, sekali gus memberi keselesaan kepada pengguna.
Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin berkata, kerja menaik taraf seperti memasang lampu isyarat dan pelebaran jalan itu sedang dilaksanakan dan dijangka akan siap dalam tempoh tiga bulan.
“Kerja menaik taraf tersebut menelan belanja RM1 juta dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
“Kita berharap, apabila projek ini siap sepenuhnya dinaik taraf kelak, ia akan dapat mengurangkan kemalangan jalan raya di samping melancarkan lalu lintas terutama pada waktu puncak,” katanya kepada media selepas meninjau lokasi tapak projek tersebut, semalam.
Turut hadir, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian, Chong Chi Fam.
Persimpangan tiga Jalan Riam -Jalan Kampung Lopeng Tengah 1 kerap berlaku kemalangan jalan raya dan sering sesak terutamanya pada waktu puncak kerana ia berhampiran dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Lopeng dan tadika, Kampung Lopeng Tengah dan empat tanah perkuburan.
Selain itu, laluan itu juga menjadi tumpuan pengguna untuk ke Taman Tunku, Riam, Lapangan Terbang Miri dan Hospital Miri.
Oleh Liong Chai Ling