
BEKENU: Sebuah gereja di Lebuhraya Pan Borneo (Jalan Bintulu-Miri) musnah hampir 80 peratus dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku lewat semalam.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian di Gereja BEM Bakas Sibuti pada 11.52 malam.
Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah dengan sebuah jentera FRT dikerahkan ke lokasi kejadian.


PADAM… Anggota bomba ketika melakukan kerja pemadaman kebakaran sebuah gereja di Lebuh Raya Pan Borneo musnah hampir 80 peratus selepas dilanda kebakaran lewat semalam.
Operasi diketuai oleh PBK II Awang Azdwan Awang Sahari.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah gereja jenis separuh kekal dua tingkat berkeluasan 40×20 kaki persegi yang terbakar sebanyak 80 peratus.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dua nozel dengan sumber air terbuka,” katanya.


Difahamkan, gereja berkenaan hanya dihuni seorang pastor dikenali sebagai Pastor Ibrahim Anyik, 63 tahun, berbangsa Kayan.
Beliau bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Operasi pemadaman berjaya ditamatkan sepenuhnya pada 2.33 pagi. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Adum Liu