
MIRI: Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM234,750 dalam beberapa siri serbuan sekitar bandar raya ini pada 29 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri bermula sekitar 3.00 petang hingga 7.00 malam.

“Hasil tangkapan pertama itu membawa kepada rampasan dadah jenis ketamin seberat 1.25 gram.
“Tidak lama kemudian, seorang lagi lelaki berusia 28 tahun turut ditahan di kawasan sama.
” Susulan maklumat daripadanya, polis menyerbu sebuah premis perkhidmatan kurier di Riam dan menemui methamphetamine seberat 5.5 kilogram.
“Maklumat daripada suspek pertama pula membawa polis ke sebuah rumah dua tingkat di Tudan, sebelum berjaya merampas dadah jenis MDMA seberat 804.25 gram,” katanya pada sidang media yang diadakan di sini petang tadi.
Menurut Mohd Farhan, jumlah keseluruhan rampasan adalah 1.25 gram ketamin, 5.5 kilogram methamphetamine dan 804.25 gram MDMA, yang mampu menjejaskan 30,181 pengguna.
Katanya, selain dadah, sebuah kenderaan bernilai RM10,000 turut disita, manakala kedua-dua suspek yang didapati positif dadah melalui ujian air kencing kini direman enam hari sehingga 5 September ini.
Beliau berkata, suspek pertama mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah, manakala suspek kedua tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, serta tidak kurang 12 sebatan, selain Seksyen 12(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM100,000,” katanya.
Beliau berkata, polis kini memburu saki-baki sindiket yang masih bebas dan menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam pengedaran dadah.
“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui hotline JSJN di talian 012-2087222,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling