SIBU: Seorang pesara tentera ditemui meninggal dunia di tingkat satu rumah sewa bangunan kedai, Sungai Merah semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, kejadian disedari sekitar jam 11.50 pagi oleh anaknya yang cuba mengejutkan ayahnya dikenali sebagai Rexley Kassim, 50, tetapi tiada tindak balas, sebelum menghubungi segera ibunya.
Menurutnya, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) diketuai oleh ASP Sylvarius dari Balai Polis Sungai Merah bergegas ke lokasi untuk menjalankan penyiasatan dan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian telah mendapati bahawa tiada kesan pecah masuk serta tiada barangan yang hilang,” jelasnya ketika dihubungi oleh pemberita petang tadi.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati si mati tinggal di rumah sewa tersebut dan besara sejak empat tahun yang lepas.
“Kedua-dua anak simati menyatakan ada berinteraksi dengan simati pada jam 7 pagi tadi. Pada masa itu, simati yang baru bangun, telah ke dapur dan kemudiannya kembali berbaring di tilam yang diletakkan di ruang tamu,” ujarnya.
Katanya lagi, hasil pemeriksaan ke atas badan simati mendapati tiada sebarang unsur jenayah.
“Pasukan perubatan Hospital Sibu yang turut sama bergegas ke lokasi mengesahkan si mati telah meninggal dunia sejak lebih kurang lima jam yang lalu,” ujarnya lagi.
ACP Stanley juga menberitahu, semakan buku rekod kesihatan yang diserahkan oleh isterinya mendapati si mati mempunyai rekod kesihatan yang kurang baik.
“Si mati ada mengalami penyakit gaut, kencing manis dan juga darah tinggi. Semasa kedatangan polis di lokasi, segala ubat-ubatan turut berada di atas meja berdekatan dipercayai untuk memudahkan si mati mengambilnya.
“Mayat si mati elah dihantar ke Bilik Mayat Hospital Sibu. Kes sebagai diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” katanya.