
KUALA LUMPUR: Meskipun berdepan saingan lebih 500 finalis daripada 50 negara, tiga artis Malaysia berjaya mengungguli hadiah utama pada Anugerah Muzik Antara Benua (InterContinental Music Awards) 2025 di di Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Menurut laman web InterContinental Music Awards, penyanyi dan penggubah lagu Heerraa yang juga ahli pengundi GRAMMY menerima anugerah Terbaik di Amerika Utara (Lagu Rakyat) bagi lagunya ‘Love Wins’ yang merupakan kolaborasi bersama penerbit dari Nashville, Justine Blazer.
Minggu ini merupakan minggu bersejarah buat Heerraa yang juga merangkul anugerah Penyanyi-Penggubah Lagu Wanita Terbaik Tahun Ini (Anugerah Emas – Kategori Antarabangsa) pada Anugerah Persatuan Penulis Penggubah Lagu Antarabangsa (ISSA) di Atlanta.

Kumpulan muzik rakyat-rock Sabah, Tuni Sundatang, yang membawa misi menghidupkan semula budaya Dusun, memperoleh anugerah Lagu Rakyat Terbaik Asia bagi lagu mereka ‘Highlanders’.

Sementara itu, pemain piano dan komposer Edward Kee meraih anugerah Pangea (New Age) Terbaik dengan gubahannya ‘Rise Up’, menurut laman web itu.
Finalis Malaysia lain di anugerah itu termasuk Vincent Yong yang dicalonkan dalam kategori Pop Asia menerusi ‘Twilight Dance; TRADITOPIA’, yang bertanding dalam kategori Muzik Dunia dengan ‘Sakti Sang Puteri’ dan Isabelle Wyen-Lam Yong pula diiktiraf dalam kategori Pemain Instrumental Terbaik bagi persembahannya ‘Flight of the Bumblebee’.
Anugerah muzik yang merupakan acara tahunan di Los Angeles itu, meraikan para pemuzik dari seluruh dunia merentasi pelbagai genre dan budaya.
-Bernama