PEMAIN tenis Switzerland, Jil Teichmann kian mendekati kejuaraan ketiga dalam kariernya di Jelajah WTA apabila bakal berdepan wakil Amerika Syarikat (AS), Jen Brady dalam perlawanan akhir Terbuka Top Seed selepas kedua-duanya cemerlang di separuh akhir semalam.
Teichmann berjaya menyingkirkan seorang lagi pemain AS, Shelby Rogers, yang sebelum itu mengetepikan Serena Williams di suku akhir dengan 6-3, 6-2.
“Sudah tentu saya akan tampil dengan penuh keyakinan di perlawanan akhir,” kata Teichmann.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir di Lexington, Ketucky, Brady mengalahkan pemain senegara berusia 16 tahun Coco Gauff 6-2, 6-4
Teichmann tidak pernah tewas dalam mana-mana set sepanjang minggu ini di kejohanan yang dilangsungkan tanpa penonton untuk mengelak penularan wabak Covid-19.
“Saya tidak mempunyai jawapan mengapa setakat ini saya belum tumpas dalam mana-mana set perlawanan. Saya hanya berasa sangat selesa dan tenang di dalam gelanggang. Boleh melihat bola dengan jelas dan saya rasa ia banyak membantu saya,” kata Teichmann.
Teichmann, yang menduduki ranking ke-63 dunia, berjaya mengalahkan Karolina Muchova di final Terbuka Prague 2019 dan Kiki Bertens pada saingan akhir Kejohanan Antarabangsa Palermo 2019.
“Saya mempunyai rekod cemerlang di perlawanan akhir, namun ia tidak memberi sebarang makna,” kata Teichmann.
Ia adalah aksi pertama Brady dalam perlawanan akhir selepas dia berjaya menduduki ranking tertinggi sepanjang kariernya di kedudukan ke-43.-AFP