
BINTANGOR: Pasukan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Meradong bersedia menggalas cabaran dalam acara tarik tali, pickleball dan Larian Santai (Fun Run) sempena Karnival Sukan SABERKAS (KASUS) Zon Tengah di SMI Park, Sibu pada 7 September ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing turut menyuntik kata semangat kepada para peserta dalam perjumpaan ringkas bersama pasukan tersebut di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Meradong, hari ini.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua atlet tarik tali, pickleball dan Larian Santai kerana sudi mewakili SABERKAS Meradong.
“Saya berharap anda semua berusaha bersungguh-sungguh demi mengharumkan nama daerah kita,” katanya.
Koung Hiing turut menegaskan penyertaan dalam KASUS bukan sahaja soal mencari kemenangan, malah wadah memperkukuh semangat berpasukan, membina persahabatan dan mengeratkan hubungan komuniti.
“Gunalah peluang ini untuk mengeratkan hubungan antara satu sama lain supaya kerjasama yang dibina dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Saya mahu setiap peserta lebih bersemangat dan bekerjasama agar kejayaan dapat dicapai secara kolektif,” katanya.
Dalam perjumpaan tersebut, SABERKAS Cawangan Meradong turut memaklumkan akan menganjurkan konvoi motosikal ke Pantai Belawai sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September dan Hari Kekeluargaan SABERKAS Meradong sebagai usaha memperkukuh hubungan belia dan masyarakat.
Turut hadir memberikan sokongan dalam perjumpaan tersebut, Timbalan Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong Ley Chee Hua, Setiausaha Dominir Amor, serta Timbalan Setiausaha Azmi Tambi.
Oleh Earl Anek