
SIMUNJAN: Seramai 138 penerima daripada pelbagai lapisan masyarakat di kawasan Parlimen Batang Sadong menerima dana berjumlah RM422,450 dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Simunjan, semalam.
Majlis anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batang Sadong itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, dengan kehadiran kira-kira 200 tetamu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, pemimpin masyarakat, ketua jabatan kerajaan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ibu bapa dan pelajar.
Dalam ucapannya, Rodiyah menegaskan penyaluran dana itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin, khususnya dalam bidang pendidikan, pembangunan belia, kebajikan dan pengukuhan komuniti.
“Dana yang disampaikan hari ini bukan sekadar angka, tetapi simbol keprihatinan kerajaan untuk memastikan anak-anak kita mendapat peluang pendidikan terbaik, selain memperkukuh peranan persatuan dan NGO dalam melaksanakan program sosial serta kemasyarakatan,” katanya.
Sektor pendidikan menerima peruntukan terbesar, iaitu RM196,000 kepada 31 PIBG sekolah rendah dan RM75,000 kepada lima PIBG sekolah menengah.
Selain itu, insentif khas turut diberikan kepada 39 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cemerlang berjumlah RM11,250,21 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 ke atas berjumlah RM10,600, tujuh calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan PNGK 3.0 ke atas berjumlah RM3,500 serta 20 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berjumlah RM6,800.
Tiga anak tempatan turut diraikan atas kejayaan mengharumkan nama daerah dan negeri, iaitu Muhammad Hasbullah dan Rais Hadif (juara Muaythai) serta Muhammad Amirudin (Tokoh Ma’al Hijrah Pelajar STAM Cemerlang Sarawak), yang masing-masing menerima insentif keseluruhan RM3,000.
Selain itu, tujuh persatuan dan NGO menerima RM115,000 bagi melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan termasuk sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan, manakala lima individu yang menghidap penyakit kronik menerima bantuan kebajikan berupa kerusi roda bernilai RM1,300.
Dalam pada itu, Rodiyah berharap setiap penerima memanfaatkan dana yang disalurkan untuk kebaikan bersama.
Turut hadir Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak, Timbalan Ketua PBB Cawangan Simunjan, Bojeng Ali dan Naib Timbalan Ketua PBB Cawangan Gedong, Ali Bujang. -UKAS