
KUCHING: Sarawak terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperkasa ekonomi digital apabila Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (Tegas) menganjurkan Hari Pembentangan Kem Pra-Pemecut (Pre-Accelerator Bootcamp) 2025 di Tegas Digital Village, hari ini.
Pengerusi Tegas, Datuk Len Talif Salleh berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif utama di bawah Tegas Digital Village dan Tegas Digital Innovation Hub yang bertujuan melahirkan usahawan muda berdaya saing.
“Sepanjang lima hari lalu, seramai 18 syarikat pemula (startups) telah menjalani pembelajaran intensif bagi memperkemas model perniagaan, memperkukuh pembentangan idea serta mempersiapkan diri untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam dunia keusahawanan. Hari Pembentangan (Demo Day) ini menjadi platform untuk menonjolkan ketahanan, kreativiti serta potensi tanpa had ekosistem startup Sarawak,” katanya.
Menurut beliau, aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri maju menjelang 2030 berpaksikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) dan Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak (SDEB 2030), dengan transformasi digital sebagai teras utama.

“Tegas memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan modal insan, memperjuangkan TVET dan STEM, memupuk inovasi digital serta memupuk semangat keusahawanan belia.
Program kami selaras dengan keutamaan strategik PCDS 2030 dan menyokong sepenuhnya matlamat yang digariskan dalam SDEB 2030,” tambahnya.
Dalam ucapannya, beliau turut mengumumkan bahawa Tegas bakal memulakan Fasa 2 pembangunan Tegas Digital Village yang merangkumi kemudahan kediaman bersama (co-living space) untuk usahawan tempatan dan nomad digital antarabangsa.
“Kemudahan ini akan menjadi ruang untuk bekerja, tinggal dan berkolaborasi di bawah satu bumbung, sekali gus menjadi pusat pertukaran ilmu, jaringan budaya serta mencetuskan idea dan inovasi baharu,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan kerjasama seperti Growth Charger, Mindswitch, para mentor dan fasilitator yang membimbing peserta sepanjang program tersebut.

“Buat para finalis, kehadiran anda di sini membuktikan semangat inovatif dan keberanian untuk bermimpi besar. Sama ada menang atau tidak, anda sudah melangkah jauh dengan membuktikan nilai idea masing-masing,” katanya lagi.
Len turut menyeru semua pihak termasuk pelabur, syarikat korporat dan sektor awam untuk terus memperkukuh ekosistem keusahawanan di Sarawak.
“Kerajaan Sarawak melalui Tegas tetap komited untuk memperkasa belia, memacu inovasi dan menyokong pertumbuhan ekonomi mampan. Semoga hari ini menjadi titik permulaan perjalanan baharu yang penuh inspirasi,” ujarnya.
Oleh Norman B.