

TERIMA KASIH… Datoʼ Sri Huang Tiong Sii menyerahkan MRP kepada penerima.
SARIKEI: Sebanyak 15 badan bukan kerajaan (NGO) telah menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk menjalankan aktiviti tahunan.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata sumbangan MRP itu bertujuan membantu setiap NGO melaksanakan program yang bermanfaat.
“Hari ini, saya telah menyerahkan peruntukan MRP kepada 15 NGO. Diharapkan peruntukan ini dapat membantu mereka menjalankan aktiviti dengan lebih sistematik dan berkesan,” katanya.
Tiong Sii berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan peruntukan MRP di Pusat Khidmat Parlimen Sarikei, semalam.
Beliau turut menasihatkan para penerima agar menggunakan peruntukan tersebut dengan penuh bertanggungjawab dan berhemah supaya manfaatnya dapat dinikmati secara optimum.
“Saya berharap peruntukan MRP ini digunakan dengan baik dan memberi impak positif kepada semua NGO yang menerima MRP.
“NGO merupakan rakan strategik kerajaan dalam menangani pelbagai isu dan cabaran di hadapi oleh setiap lapisan masyarakat.
“Saya sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan serta berkerjasama dengan NGO pada masa akan datang,” katanya.
Oleh Earl Anek