
LIMBANG: Perhimpunan muafakat gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Limbang bakal mengadakan perhimpunan aman ‘Keadilan untuk Zara’ pada Ahad ini.
Pengerusi program, Mohamad Abu Bakar berkata menganggarkan 3,000 peserta bakal membanjiri pekarangan Lot 777 bagi menyatakan solidariti buat Allahyarham Zara Qairina Mahadir, 13.
“Perhimpunan solidariti arwah Zara Qairina Mahathir akan diadakan Ahad ini (24 Ogos) bermula 2.00 petang hingga 6.00 petang di pekarangan Lot 777 Limbang.
“Tema pakaian pada perhimpunan itu adalah warna putih (warna lain dibenarkan),” katanya kepada media hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Melayu Limbang berkata perhimpunan ini adalah berkonsepkan insaniah atau kemanusiaan untuk menuntut keadilan buat Allahyarham Zara Qairina.
“Kita bergabung dengan NGO di Limbang tanpa mengira agama dan budaya dan mesej yang hendak disampaikan adalah supaya keadilan dapat ditegakkan dan jika ada orang yang bersalah mereka perlu diheret ke muka pengadilan,” katanya.
Mohamad menambah kisah pilu ini bukan saja bersifat setempat malah mencuri perhatian masyarakat antarabangsa termasuk di Brunei, Thailand, Indonesia, Filipina, Korea Selatan, China, Jepun, Kemboja, Myanmar dan Laos malah sejauh United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
“Semua penduduk Limbang tidak mengira latar belakang kaum, bangsa dan agama dijemput hadir bersama. Kita menjemput juga hadir rakan-rakan kita dari negara Brunei Darussalam, Wilayah Persekutuan Labuan, Daerah Lawas, Miri dan seluruh rakyat Sarawak.
“Kita sama-sama bersolidariti, tunjukkan sokongan padu kepada arwah Zara Qairina untuk menegakkan keadilan dan kebenaran,”ujarnya lagi.
Katanya, peserta perhimpunan itu kelak perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak penganjur agar perhimpunan berjalan lancar.
Terdahulu, Mohamad dan NGO Limbang turut memohon permit perhimpunan daripada polis melalui Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot dan Majlis Daerah Limbang (MDL) melalui Pengerusinya Kaunselor Sufian Mohat.
Oleh Adeng Edrus