
KIGALI: Sekurang-kurangnya 47 orang maut manakala lebih 56,000 lagi hilang tempat tinggal akibat banjir yang dicetuskan oleh hujan lebat di Niger, lapor Anadolu Ajansi memetik pihak berkuasa pada Rabu.
Menurut Direktorat Am Perlindungan Awam, banjir itu menjejaskan 7,754 isi rumah di 339 kawasan kejiranan dan kampung.
“Seramai 30 mangsa maut selepas rumah mereka runtuh, manakala 17 lagi lemas.
“Selain itu, banjir turut menyebabkan 70 orang cedera dan 257 ekor ternakan mati,” menurut kenyataan pengarah agensi itu.
Jawatankuasa kebangsaan yang bertanggungjawab terhadap pencegahan banjir memaklumkan pihaknya telah mula mengagihkan bantuan makanan kepada 3,776 keluarga.
Pihak berkuasa turut berkata kerajaan memperuntukkan 12 bilion franc CFA (AS$21.3 juta) untuk membantu keluarga dan individu yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.
Pada 2024, hujan lebat menjejaskan hampir 1.5 juta penduduk di lapan wilayah negara itu.– Bernama-Anadolu