
SIMANGGANG: Bandar Simanggang diharap dipilih sebagai salah satu venue bagi acara tinju sempena temasya Sukan SEA 2027 yang bakal dianjurkan oleh Malaysia.
Harapan itu disuarakan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis ketika merasmikan Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak Edisi Ke-4 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, malam tadi.
“Kita sedia maklum bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.
“Salah satu acara yang dipertandingkan ialah tinju, dan kita amat berharap Simanggang dapat dipilih sebagai lokasi penganjuran, memandangkan Sarawak telah menunjukkan kesediaan untuk menjadi tuan rumah beberapa acara sukan,” katanya.
Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak Edisi Ke-4 itu menyaksikan penyertaan seramai 123 atlet, termasuk peserta antarabangsa dari Singapura dan Indonesia, selain pasukan dari Semenanjung Malaysia.
Ia membabitkan kategori Junior yang melibatkan 42 peserta, kategori SUKMA dengan 29 peserta terdiri daripada 19 lelaki dan 10 wanita, serta kategori Elite yang menyaksikan penyertaan 52 peserta merangkumi 47 lelaki dan lima wanita.
Secara keseluruhan, sebanyak 34 pasukan bertanding yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Elite dengan lima pasukan, SUKMA sembilan pasukan, dan Junior 10 pasukan.
Menurut Harden, perkembangan positif sukan tinju di Sarawak membuktikan potensi besar yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
“Bakat seperti anak jati Sarawak, Daeloniel McDelon Bong atau ‘Kilat Boy’, telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. Saya percaya lebih ramai peninju berbakat akan dilahirkan melalui kejohanan ini, khususnya dari Sri Aman,” katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat, terutamanya di Bahagian Sri Aman, untuk terus memberi sokongan padu kepada Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet berkualiti, termasuk dari kawasan pedalaman.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, Presiden Persatuan Tinju Sarawak, Datuk Rahman Lariwoo, Pengarah Kejohanan, Johnny Ting Su King dan Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.
Oleh Adi Safarman