
KAGOSHIMA (Jepun): Media sosial di Jepun gempar dengan laporan orang ramai mengenai penampakan objek misteri yang seketika menerangi langit di bahagian barat negara itu pada malam Selasa ketika ia jatuh, lapor Agensi Berita Kyodo.
Siaran langsung Kyodo News mengenai gunung berapi di Sakurajima, Wilayah Kagoshima, merakam detik itu sekitar 11.08 malam. Seorang pegawai di pejabat meteorologi Kagoshima berkata ia “berkemungkinan bola api atau meteorit.”

Fenomena kira-kira empat saat itu, yang menyaksikan sebutir cahaya kecil jatuh menembusi langit malam sebelum seketika menjadikannya seperti siang, dapat disaksikan dari beberapa wilayah di kawasan Kinki, Kyushu dan Shikoku.
“Melihat objek yang menghasilkan kilatan intensiti ini mungkin peluang sekali dalam setahun,” kata Kazuyoshi Imamura, kurator di Pusat Sains Anan di Wilayah Tokushima yang turut merakam kejadian itu dari rumahnya.
Pihak berkuasa tempatan dan polis memaklumkan mereka tidak menerima sebarang laporan kecederaan berkaitan insiden tersebut.– Bernama-Kyodo