

SEBAHAGIAN besar struktur Rumah Panjang Jantun di Jalan Krian, Saratok hangus dijilat api dalam kejadian tengah hari tadi.
SARATOK: Sebuah rumah panjang dua tingkat jenis separuh kekal, Rumah Panjang Jantun yang mempunyai 16 pintu di Jalan Krian, musnah hampir 80 peratus dalam insiden kebakaran tengah hari tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok menerima panggilan kecemasan pada 1.35 petang sebelum sebuah Jentera Penyelamat Kebakaran (FRT), sebuah Jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan tujuh anggota digerakkan ke lokasi.
Menurut Komander Operasi, Nasir Drahman, sebaik tiba di lokasi, kebakaran didapati sedang marak dan melibatkan struktur rumah panjang berkeluasan kira-kira 64 x 512 kaki persegi.
“Api berjaya dikawal namun rumah panjang berkenaan sudah terbakar 80 peratus. Tiada kemalangan jiwa terlibat dalam kejadian ini,” katanya.
Tambah beliau, kerja pemeriksaan lanjut masih diteruskan bagi memastikan kebakaran dipadam sepenuhnya, sementara liputan komunikasi Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) di lokasi kejadian dilaporkan kurang memuaskan.