

AKTIVITI… Pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang lawatan sambil belajar kanak-kanak Taska KEMAS, PPK Jalan Chung San di BBP Bintangor, semalam. Foto BBP Bintangor
BINTANGOR: Seramai 13 peserta terdiri daripada 10 kanak-kanak dan tiga guru pengiring Taska Kemas PPK Jalan Chung San telah menjalankan lawatan sambil belajar ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, pagi semalam.
Menurut Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin, program bermula 8.30 pagi tersebut diisi dengan pelbagai aktiviti pendidikan termasuk taklimat kesedaran kebakaran, latihan berhenti, rebah dan guling serta demonstrasi memadam kebakaran.
“Kanak-kanak juga diberi peluang menaiki jentera bomba, sekali gus menambah pengalaman dan pengetahuan mereka mengenai peranan pasukan bomba dalam menjaga keselamatan masyarakat.
“Pendedahan awal ini mampu membentuk keyakinan diri serta kefahaman asas tentang apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kecemasan.
“Ia juga menjadikan mereka lebih peka terhadap kepentingan keselamatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, pendekatan santai dengan pengisian berbentuk interaktif mampu menarik minat kanak-kanak untuk belajar mengenai aspek keselamatan.
“Selain memberi keseronokan, aktiviti ini juga menanam nilai keberanian dan disiplin dalam diri mereka.
“Alhamdulillah, lawatan sambil belajar ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Oleh Earl Anek