KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menggesa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mempercepatkan dan meningkatkan perjalanan transformasi digital mereka.
Oleh itu, MDEC menyeru usahawan untuk mendaftar dengan platform Digital Xccelerator (DX) dan mengambil langkah pendigitalan bagi memastikan perniagaan mereka terus berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutif, Surina Shukri berkata, platform DX telah direka bagi membantu PKS mendapat akses kepada program, insentif dan penyelesaian teknologi yang disesuaikan dengan keperluan pendigitalan mereka.
“Platform DX ini merupakan inisiatif yang percuma, yang dilancarkan semasa Sidang Kemuncak Digital PKS MDEC yang pertama.
“Bagi MDEC, langkah seterusnya adalah untuk mengekalkan momentum yang dijana oleh sidang kemuncak tersebut. Platform DX yang kami lancarkan adalah kritikal untuk usaha ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sidang kemuncak itu merupakan persidangan digital pertama seumpamanya di Malaysia dan dianjurkan sebagai platform maya bagi memperkasakan PKS tempatan memasuki dunia pendigitalan dengan mengubah minda mereka ke arah inovatif dan transformasi.
MDEC juga mengusahakan #SayaDigital, satu inisiatif untuk mempercepatkan pertumbuhan masayarakat digital di negara ini.
Kempen selama sebulan ini bertujuan memperkembangkan kompetensi dan penggunaan digital di kalangan rakyat Malaysia bagi membolehkan mereka menangani normal baharu dalam komuniti serta perniagaan semalam.
Sidang Kemuncak yang diadakan pada 11 hingga 13 Ogos lepas, mendapat sambutan penyertaan seramai 1 juta orang dalam pelbagai perbincangan panel digital, persidangan, bengkel dan klinik latihan.
Majoriti persidangan telah dianjurkan secara bersama dengan lebih 60 rakan kongsi acara yang terdiri daripada perniagaan tempatan, syarikat multinasional, penyedia penyelesaian digital, pemimpin industri termasuk agensi awam dan swasta.
“Kami berharap agar visi dan jalinan yang mereka perolehi dari persidangan ini akan membantu meningkatkan pendigitalan ekonomi negara, disebabkan kami mahu menggalakkan semua rakyat Malaysia untuk menerima konsep tersebut dalam era gangguan seperti sekarang selain daripada menjana kemakmuran yang lebih besar untuk Malaysia,” kata Surina.
Sidang Kemuncak Digital PKS dan platform DX adalah usaha terkini di bawah inisiatif digital 100 Go Digital MDEC yang diperkenalkan pada tahun lepas, bertujuan untuk membolehkan perniagaan tradisional Malaysia bergerak ke alam maya.
Untuk tujuan ini, MDEC bekerjasama dengan beberapa syarikat untuk menyelesaikan cabaran dalam landskap pendigitalan yang sentiasa berubah dengan menawarkan pelbagai program bagi membantu perniagaan meningkatkan pengalaman pelanggan mereka seperti mendapatkan segmen pasaran baharu serta menambahkan jualan.
Sementara itu, satu lagi sorotan pada sidang kemuncak itu ialah acara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MDEC dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), bertujuan untuk meningkatkan gerakan pendigitalan bagi perniagaan Malaysia melalui inisiatif seperti “Digital Victory Virtual Business Clinic” (DVVBC). – Bernama