
KRIAN: Usaha kerajaan negeri memastikan kebajikan rakyat terus terjamin diterjemahkan melalui penyerahan tangki air kepada penduduk kawasan luar bandar.
Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik hadir menyempurnakan Majlis Ringkas Penyerahan Tangki Air Fasa 2 2025 di Rumah Empawie, Bajau Krian, dekat sini semalam.
Untuk fasa kedua ini, kerajaan Sarawak telah mengagihkan sebanyak 342 tangki air yang akan disalurkan secara berperingkat kepada penerima yang layak.
Friday berkata, meskipun hampir semua rumah panjang kini sudah menikmati kemudahan bekalan air bersih, keperluan tangki simpanan masih penting untuk menjamin kelestarian bekalan air di kawasan pedalaman.
“Musim kemarau dan masalah teknikal seperti paip pecah atau bocor boleh menyebabkan gangguan bekalan air. Justeru, tangki air ini akan menjadi penyelamat sementara bagi penduduk,” katanya.
Beliau menegaskan, inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar, malah membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan komuniti di kawasan Krian.
Friday turut menggesa agar penerima menjaga serta menggunakan kemudahan ini dengan sebaiknya demi manfaat bersama, sekali gus memastikan keperluan asas penduduk terus terjamin untuk jangka panjang.
Oleh Adi Safarman