SHEILA ZAIDI
KUCHING: Prihatin ke atas keperluan petugas barisan hadapan di negeri ini, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) bersama Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) tampil menyumbang kit ujian Covid-19 dan Kelengkapan Perlindungan Diri (PPE) bernilai RM2 juta.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, peralatan dan kelengkapan perubatan berkenaan akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk dihantar kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) bagi kegunaan petugas barisan hadapan.
“Dalam keadaan yang mencabar ini, kita memahami serta berkongsi perasaan terhadap petugas barisan hadapan yang sedang berusaha gigih memberi perkhidmatan bagi menyelamatkan orang ramai daripada pandemik Covid-19.
“Atas dasar tanggungjawab sosial dan semangat ingin membantu meringankan beban mereka ini, PUSAKA dan STA mewakili industri perkayuan negeri berganding bahu menyumbangkan peralatan perubatan bernilai RM2 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan kit ujian Covid-19 dan PPE untuk petugas barisan hadapan daripada PUSAKA dan STA di Wisma Sumber Alam di sini, semalam.
Menurut Tengah, peralatan perubatan yang disumbangkan oleh PUSAKA dan STA itu terdiri daripada 10,000 kit ujian Covid-19, pakaian pelindung perubatan disteril sebanyak 5,000 keping, gaun isolasi tidak disteril (10,000 keping), sarung tangan pemeriksaan vinil perubatan (200 kotak), penutup kasut perubatan (10,000 pasang), kaca mata perubatan (5,000 keping), pelindung muka (5,000 keping), penutup mulut dan hidung respirator KN 95 (10,000 keping), penutup mulut dan hidung perubatan pakai buang (105,000 keping) dan tudung kepala perubatan (10,000 keping).
Bagaimanapun, katanya, disebabkan masalah pengangkutan menyebabkan kit ujian Covid-19 dan PPE sumbangan PUSAKA dan STA hanya akan tiba di Kuching pada 21 April ini.
Sejurus tiba di Kuching, peralatan perubatan berkenaan akan diserahkan terus kepada JPBNS untuk diagih kepada JKNS serta petugas barisan hadapan, katanya.
Tambah Tengah, perancangan awal adalah untuk membawa peralatan bagi ujian Covid-19 dan PPE ini melalui penerbangan sewaan khas dan MAS Kargo dari China ke Kuching.
Namun disebabkan terlalu lama menunggu kelulusan permit penerbangan berkenaan daripada pihak berkuasa penerbangan China serta prosedur pelepasan ketat oleh pihak berkuasa tempatan di sana, PUSAKA dan STA mengambil keputusan membawa muatan peralatan ini menerusi kargo laut, ujarnya.
Beliau memberitahu, muatan kargo laut itu kini dalam perjalanan ke Kuching dan dijangka tiba pada 21 April ini.
Awang Tengah turut memuji usaha PUSAKA dan STA atas sumbangan mereka serta menyeru lebih banyak organisasi dan badan korporat tampil menghulurkan bantuan kepada petugas barisan hadapan.
Sumbangan daripada dua organisasi itu menunjukkan sokongan dan komitmen mereka sebagai pemain industri perkayuan Sarawak kepada kerajaan negeri dalam mengatasi Covid-19.
Pada majlis sama, Awang Tengah turut menyampaikkan 100,000 keping penutup mulut dan hidung kepada Pusat Pakar Perubatan Normah, JPBNS, Pusat Khidmat ADUN Satok, Pusat Khidmat ADUN Kuala Rajang, Pusat Khidmat ADUN Gedong, Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan dan jabatan kerajaan serta agensi di bawahnya termasuk anak-anak syarikat PUSAKA.
Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan merangkap ADUN Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Perancangan Bandar dan Sumber Asli yang juga ADUN Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh dan Pengurus Besar PUSAKA, Hashim Bojet.