
Pemain muda Liverpool, Ben Doak berpindah ke Bournemouth dengan yuran sehingga RM142 juta. – Foto afcb.co.uk
LONDON: Pemain sayap muda Scotland, Ben Doak sah menyertai Bournemouth dengan yuran perpindahan bernilai sehingga £25 juta (RM142 juta), sekali gus melonjakkan hasil jualan pemain Liverpool melebihi £200 juta (RM1.14 bilion) pada jendela perpindahan kali ini.
Doak, 19, dibawa masuk dari Celtic pada 2022 dengan hanya £600,000 (RM3.4 juta), namun hanya beraksi 10 kali bersama skuad utama The Reds.
Musim lalu, dia menyerlah ketika dipinjamkan ke Middlesbrough dan turut meraih enam caps bersama Scotland.
Menurut BBC, Bournemouth akan membayar £20 juta (RM114 juta) sebagai yuran asas dengan tambahan £5 juta (RM28.5 juta) bergantung kepada prestasi.
“Saya rasa inilah masa yang tepat dan peluang besar untuk bermain secara kerap di peringkat tertinggi. Ia dirasakan seperti padanan sempurna buat saya,” kata Doak.
“Corak permainan pasukan ini amat bagus, pantas dan sesuai dengan gaya permainan saya. Jadi saya tidak mampu menolak peluang untuk beraksi di sini.”
Dia menjadi pemain terbaharu meninggalkan Anfield selepas Luis Diaz, Darwin Nunez, Trent Alexander-Arnold, Caoimhin Kelleher, Jarell Quansah dan Tyler Morton.
Hasil jualan pemain membolehkan Liverpool berbelanja hampir £300 juta (RM1.7 bilion) bagi memperkukuh skuad Arne Slot dengan membawa masuk Florian Wirtz, Hugo Ekitike, Jeremie Frimpong, Milos Kerkez dan Giovanni Leoni.
Dua minggu sebelum jendela perpindahan ditutup, The Reds dijangka menambah lagi muka baharu.
Tawaran £110 juta (RM627 juta) buat penyerang Newcastle, Alexander Isak dilaporkan sudah ditolak, manakala kapten Crystal Palace, Marc Guehi semakin hampir menyertai penyandang juara EPL itu. – AFP