SERIAN: Pelaksanaan lima peratus Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum membolehkan Sarawak menikmati pendapatan tambahan untuk membangunkan negeri.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak juga telah menang kes mahkamah ke atas Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan berhak mengutip cukai jualan tersebut berdasarkan perlembagaan negeri dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kini, kita ada pendapatan tambahan daripada SST itu yang mana jumlahnya adalah empat kali ganda dari royalti minyak yang kita terima.
“Jadi, apabila kita ada pendekatan kita adalah rasional dengan melihat kepada hak dan undang-undang kita, dan kita laksanakan melalui parti kita sendiri (Gabungan Parti Sarawak), ia memberikan kita manfaat,” katanya.
Abang Johari berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Projek Menaik Taraf Jalan Padawan (Fasa 1) Bahagian Serian bertempat di Dewan Serbaguna Tapah, di sini, semalam.
“Bagi kita di Sarawak, kita akan terus mempertahankan hak kita sebagai sebuah negeri dalam persekutuan dan saya meneruskan usaha Allahyarham Tok Nan untuk mengambil semula hak kita yang terhakis.
“Dahulu ada pihak yang bertanya kepada saya kenapa keluar parti Barisan Nasional (BN), dan selepas BN kalah pada Pilihan Raya Umum yang lalu, saya mengambil keputusan untuk keluar dan membentuk GPS.
“Kerana semasa di dalam BN peraturannya kita mengikut keputusan parti, apa kita hendak sesuatu kita tak dapat laksanakan oleh sebab peraturan itu, dan apabila membentuk GPS kita bebas dan dapat mentadbir Sarawak dan menjaga hak Sarawak kita sendiri,” jelasnya.