SERIAN: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan melaksanakan cadangan pembinaan projek jalan penghubung baharu dari Annah Rais, Padawan ke Tebedu jika terus diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah semula negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) nanti.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak mengambil maklum mengenai permohonan daripada penduduk dan ia akan dimasukkan dalam pelan pembangunan untuk menghubungkan kawasan Padawan sehingga ke Tebedu.
“Namun, saya tidak dapat memberi jawapan awal mengenai cadangan ini kerana seperti anda sedia maklum, kuasa GPS sebagai kerajaan yang mentadbir Sarawak akan berakhir tidak lama lagi, iaitu sehingga 2021.
“Bagaimanapun, jika anda (rakyat) memberi balik kuasa tersebut kepada GPS (selepas PRN12), projek jalan ini pasti akan kita laksanakan kerana pembinaan jalan ini agak panjang,” katanya.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata demikian semasa melancarkan Projek Menaiktaraf Jalan Padawan (Fasa 1) Bahagian Serian di Dewan Serbaguna Tapah, di sini, semalam.
Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) menganggarkan projek jalan yang menghubungkan Kampung Annah Rais, Sadir, Tepoi dan Temong di Tebedu sejauh 20 kilometer itu menelan kos sekitar RM197 juta.
“Sebab itu saya katakan projek ini mengambil masa, dan apabila GPS berkuasa semula, kita akan membangunkan semula jalan ini disamping meneruskan pembinaan jalan di Padawan sehingga selesai.
“Tetapi kalau GPS tidak diberi mandat semula, sudah tentu kami tidak dapat melaksanakan projek ini sebab kita perlu praktikal.
“Saya tidak mahu menjadi seperti Pakatan Harapan (PH) yang berjanji tetapi tidak ditepati.
“Kerana apabila saya berjanji, saya akan tepati. Jadi terpulang kepada rakyat di Tebedu, Padawan, Mambong, Serian dan kawasan lain untuk memberi kuasa balik kepada GPS bagi meneruskan rancangan pembangunan yang telah kita rancangankan di Bahagian Serian ini,” ujarnya.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi, Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur, Datuk Seri Richard Riot Jaem yang juga Ahli Parlimen Serian dan Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Roland Sagah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat.
Oleh Zarina Abdullah