
SIBU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan menawarkan promosi khas pakej pelancongan kepada jururawat Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertugas di Sibu dan Bintulu.
Menterinya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, pakej berkenaan merangkumi tiket penerbangan pergi balik dari Sibu atau Bintulu ke Kuala Lumpur pada harga istimewa RM138 sahaja.
“Selain itu, sebanyak 19 hotel di Semenanjung Malaysia dan Sibu turut menawarkan diskaun sehingga 15 peratus kepada jururawat yang menempah pakej tersebut.

“Tempoh tempahan adalah dari 1 hingga 30 September 2025, manakala tempoh perjalanan bermula 1 September hingga 31 Disember 2025. Gunakan kod promosi Malaysia 68 dan sertakan nombor kod jururawat masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Apresiasi Jururawat 2025 di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu berkata, pihaknya akan berbincang dengan Ketua Pengarah kementerian untuk meluaskan promosi itu kepada doktor dan ahli farmasi yang bertugas di Sibu dan Bintulu.
Pada masa yang sama, beliau menasihatkan petugas kesihatan supaya sentiasa mengutamakan kesabaran, ketenangan dan sikap berhemah ketika berhadapan dengan pesakit serta keluarga mereka.
“Adalah perkara biasa apabila pesakit dan keluarga mereka berada dalam keadaan emosi, namun barisan hadapan kesihatan tidak seharusnya mudah marah atau memberi reaksi negatif,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau, Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu, Dr Teh Jo Hun, Pengarah Hospital Sibu, Dr Nanthakumar Thirunavukkarasu serta yang lain.
Oleh Akun Giman