
BEKENU: Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Zakaria Shaaban meneruskan siri lawatan kerja rasmi ke Sarawak dengan mengunjungi Depot Imigresen Bekenu di Jalan Persisiran Pantai Miri–Bintulu, semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, lawatan ini bertujuan meninjau operasi serta kemudahan di bawah seliaan jabatan, khususnya projek naik taraf yang sedang giat dijalankan di depot tersebut.
Dato’ Zakaria turut meluangkan masa melawat Baitul Mahabbah, sebuah pusat penempatan kanak-kanak bersama ibu masing-masing bagi memastikan mereka berada dalam keadaan lebih selesa.

“Kunjungan ini membuktikan keprihatinan JIM terhadap isu-isu kemanusiaan, bukan hanya tertumpu pada aspek penguatkuasaan undang-undang,” jelas kenyataan itu.
Rombongan beliau disertai Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Kementerian Ekonomi, Zahrain Mohd Nor.
Dalam sesi taklimat oleh Komandan Depot Imigresen Bekenu, Fandy Ahmad, bersama wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dato’ Zakaria diberi penerangan terperinci mengenai status kemajuan projek.
Beliau turut meninjau tapak projek untuk melihat secara langsung perkembangan kerja naik taraf dan berinteraksi dengan pihak JKR.
Pemerhatian ini, menurut kenyataan tersebut, membolehkan beliau mendapat gambaran jelas sekali gus memastikan projek berjalan mengikut jadual, mematuhi spesifikasi, dan mengekalkan kualiti kerja pada tahap memuaskan.
Oleh Adum Liu