KABONG: Pemantauan berterusan akan dijalankan dari semasa ke semasa untuk memastikan setiap projek dibiayai Kerajaan Sarawak dilaksana dengan sempurna dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata antara projek penting yang perlu pemantauan berterusan adalah seperti Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS).
“Kita mahu setiap projek rakyat yang dibiayai Kerajaan Sarawak dapat disiapkan mengikut jadual sekaligus memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Semalam, Pegawai Tugas Khas kepada ADUN Kabong, Nur Elffi Amir bagi mewakili Chee Kadir telah bersama pihak agensi pelaksana, Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok pada Majlis Ringkas Serah Projek kepada kontraktor yang telah dilantik dekat sini semalam.
Chee Kadir berkata kedua-dua projek (RTP dan PPRMS) daripada Kerajaan Sarawak itu dilaksana menggunakan dana sendiri dan dilihat banyak membantu menyelesaikan isu serta permasalahan melibatkan infrastruktur asas secara berperingkat di kampung-kampung di negeri ini.
“Sebab itulah kita mahukan projek-projek yang memberi impak yang besar kepada rakyat ini, harus diberi pemantauan yang berterusan dan siap mengikut jadual.
“Kita tidak mahu adanya rungutan dan permasalahan kepada pelaksanaan projek-projek terbabit yang akhirnya akan memberi kesan negatif kepada rakyat amnya.
“Oleh itu, agensi pelaksana perlu tegas dan memantau pelaksanaan RTP serta PPRMS untuk manfaat rakyat dalam jangka masa panjang, dan tindakan itu penting supaya pihak kontraktor mematuhi spesifikasi projek yang ditetapkan.
“Ia juga penting supaya tiada isu berbangkit daripada penduduk setempat selepas sesebuah projek RTP siap dilaksanakan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Chee Kadir memberitahu sebanyak 21 projek RTP bagi tahun 2020 yang sedang dilaksanakan di DUN Kabong, kini berjalan lancar dengan kerja-kerja pembinaan sedang dan akan dilaksanakan.
Tambah Chee Kadir, projek-projek pembangunan yang telah dan akan dilaksana tersebut menjadi salah satu usaha kerajaan memberi keselesaan kepada penduduk luar bandar menikmati manfaat pembangunan kemudahan infrastruktur dan prasarana.
“Saya akan sentiasa komited terhadap keperluan rakyat dan membangunkan kawasan luar bandar bagi memastikan penduduk di DUN Kabong tidak ketinggalan menikmati keselesaan pembangunan yang direncanakan kerajaan,” katanya.
Oleh Adi Safarman