
SIBU: Peniaga tempatan kerugian RM79,499 selepas menjadi mangsa penipuan cabutan hadiah dalam talian yang menyamar sebagai wakil syarikat emas dari luar negara.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa berusia dalam lingkungan 50an itu membuat laporan semalam selepas menyedari telah ditipu.
Beliau berkata, pada 7 Ogos lalu, mangsa menyertai satu siaran langsung di Facebook yang mempromosikan cabutan buka hadiah atau kotak dengan membuat bayaran RM499 ke akaun yang diberikan penganjur.
“Mangsa kemudiannya menerima panggilan WhatsApp daripada nombor luar negara, kononnya daripada seorang lelaki bernama Mr Teng dari Shanghai, China yang mendakwa mewakili sebuah syarikat emas bakal membuka cawangan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zulkipli, suspek menawarkan pembelian kotak hadiah yang didakwa mengandungi wang tunai dalam mata wang A$D serta peluang menjadi rakan niaga.
Mangsa tertarik dan membuat pembelian sebanyak 80 kotak hadiah.
Pada 12 Ogos, mangsa menerima panggilan daripada wanita bernama Miss Lee yang mendakwa mangsa telah memenangi A$D288,888.88 dan wang itu akan dimasukkan ke dalam akaun mangsa pada hari sama.
“Antara 7 hingga 13 Ogos, mangsa membuat 11 transaksi pindahan wang berjumlah RM79,499 ke dua akaun tempatan. Namun sehingga kini, wang tidak diterima dan mesej WhatsApp mangsa telah disekat,” katanya.
Mangsa kemudian membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Zulkipli berkata, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dengan penyertaan cabutan hadiah dalam talian yang tidak dapat disahkan kesahihannya supaya tidak menjadi mangsa penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Katanya, untuk sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan ikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.
Buat juga semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.
Oleh Tarani Lanting