KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia sedang mencatatkan pemulihan dalam keluk berbentuk ‘V’ selepas mengalami impak Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pada suku kedua tahun ini.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, keadaan bagaimanapun masih belum reda berikutan cabaran berkaitan pandemik itu yang masih dihadapi Malaysia serta di negara-negara lain.
Ekonomi Malaysia menguncup 17.1 peratus pada suku kedua 2020 apabila negara terpaksa melaksanakan langkah kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19.
Pada suku kedua 2019, Malaysia mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.9 peratus.
“(Kita menyaksikan) penguncupan mendadak pada April (ketika langkah pembendungan dilaksanakan) kepada peningkatan ketara apabila perintah kawalan pergerakan itu dilonggarkan.
“Sehubungan itu, keadaan ekonomi beransur-ansur pulih dan peningkatan itu adalah lebih kukuh pada 2021,” katanya pada majlis taklimat bersama Pengarang-Pengarang Kanan Media pada Khamis lepas.
Beliau berkata, berikutan itu, BNM juga telah menyemak semula unjuran KDNK 2020 kepada -3.5 hingga -5.5 peratus daripada -2 hingga 0.5 peratus sebelum ini berikutan anggaran awal itu dibuat berdasarkan tempoh pelaksanaan kawalan pergerakan selama empat minggu berbanding tujuh minggu.
Ekonomi negara dijangka pulih dan mencatat pertumbuhan pada 5.5 peratus hingga 8 peratus pada 2021.
Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, 2020 yang menyaksikan ekonomi beroperasi pada kapasiti sebanyak 45 peratus.
Ini disusuli dengan PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei dan seterusnya PKP Pemulihan pada 10 Jun-31 Ogos, 2020 yang membawa kepada pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.
Mengulas selanjutnya dalam sesi taklimat yang berlangsung selama 90 minit, Nor Shamsiah berkata: “Oleh kerana perintah kawalan itu dilaksanakan secara tegas, kita sebaliknya dapat membuka semula sebahagian besar sektor ekonomi pada kadar lebih pantas berbanding jangkaan awal. Inilah yang dapat meminimumkan kesan buruk serta kekal terhadap ekonomi.”
Malah, tegasnya, peningkatan ketara itu dapat dilihat dalam beberapa indeks seperti sektor borong dan runcit, pengeluaran perindustrian manakala eksport dan perbelanjaan kad kredit turut mencatat pemulihan.
Kadar pengangguran susut sedikit kepada 4.9 peratus pada Jun lepas daripada paras rekod 5.3 peratus pada bulan sebelumnya.
Tuntutan pengangguran juga menyederhana manakala kadar penggantian (pekerja) pula meningkat, katanya.
“Penggunaan elektrik, pengambilan semula tenaga kerja, pengeluaran sektor perkilangan pula menunjukkan tanda-tanda normalisasi,” katanya.
Malah, katanya, peningkatan permintaan isi rumah itu akan memberi kesan limpahan terhadap ekonomi.
Selain itu, aktiviti pembelian baharu oleh penumpang penerbangan menyaksikan peningkatan sebanyak 6.3 peratus pada bulan Jun lepas berbanding kemerosotan ketara sebanyak 99.7 peratus pada April.
Ini akan membantu pemulihan ekonomi memandangkan perbelanjaan penggunaan oleh golongan T20 dan M40 adalah tunjang atau menyumbang 80 peratus terhadap penggunaan swasta.
“Perbelanjaan kumpulan isi rumah ini akan meningkat seiring dengan kelonggaran mobiliti domestik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa. Isi rumah ini juga berkemungkinan besar akan mengalihkan tumpuan perjalanan antarabangsa mereka kepada perjalanan tempatan,” katanya.
Pada tahun lepas misalnya, rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM51.3 bilion bagi perjalanan ke luar negara berbanding RM26.7 bilion pada 2010.
“Oleh itu, terdapat ruang untuk kita menyalurkan semula perbelanjaan ini ke dalam ekonomi domestik dengan pelancongan tempatan akan menjadi penerima manfaat itu,” katanya. – Bernama