
KUCHING: Kontinjen Sarawak yang terdiri daripada 213 pegawai dan atlet kini bersiap sedia membawa cabaran negeri ini pada Sukan Bekalan Air Se-Malaysia (SBAM) 2025 yang akan berlangsung di Selangor dari 21 hingga 25 Ogos ini.
Kontinjen itu bakal diketuai Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan dan akan berentap dalam 13 acara sukan melibatkan pelbagai kategori.
Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak yang diadakan di Auditorium Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) hari ini telah disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.
Beliau menegaskan SBAM bukan sekadar medan meraih pingat, malah menjadi wadah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga sektor bekalan air di seluruh negara di samping memperkukuh kerjasama dan perkongsian amalan terbaik.

Menurutnya, nilai murni yang dipupuk melalui sukan seperti disiplin, kesungguhan, daya tahan dan kerja berpasukan amat bertepatan dengan tanggungjawab memastikan rakyat menerima bekalan air bersih dan berterusan.
Beliau turut menggesa kontinjen mengekalkan imej positif Sarawak sebagai pasukan yang hebat, mesra serta mengutamakan disiplin, keselamatan dan kesihatan sepanjang kejohanan.
“Bertandinglah bukan sahaja untuk pingat, tetapi juga demi mengukuhkan persaudaraan serta membina reputasi Sarawak sebagai wilayah cemerlang dalam semua bidang,” katanya sambil mendoakan kejayaan cemerlang kontinjen.
Oleh Norman B