MOSCOW: Vaksin baharu Rusia untuk Covid-19 disyorkan kepada individu berusia 18 hingga 60 tahun, kata ketua Pusat Kesihatan Saintifik Kementerian Kesihatan Rusia Vladimir Bondarev pada Rabu.
“Di Rusia, menjadi kebiasaan untuk mengesahkan (vaksin untuk) kanak-kanak daripada lahir hingga 18 tahun; dewasa daripada 18 hingga 60 tahun; dan warga emas – berusia lebih 60 tahun.
“Kajian klinikal kini dilakukan terhadap sekumpulan sukarelawan berusia 18 hingga 60 tahun. Oleh itu, vaksin ini sekarang ditujukan untuk kegunaan kepada mereka yang berusia 18 hingga 60 tahun”, kata Bondarev dalam satu taklimat.
Pakar itu juga berkata kajian klinikal tambahan diperlukan untuk warga emas dan mungkin akan dilakukan semasa ujian klinikal pasca pendaftaran, lapor agensi berita Sputnik.
Sementara itu, pengarah Institut Penyelidikan Kebangsaan Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamaleya Alexander Gintsburg berkata, beliau yang bakal mencecah umur 60 tahun sudah diberikan suntikan dengan vaksin itu dan berada dalam keadaan baik.
Awal minggu ini, Rusia mengumumkan untuk mendaftarkan vaksin Covid-19 pertama di dunia, dikenali Sputnik V.
Presiden Vladimir Putin sudah memberi kelulusan terhadap vaksin itu.
Vaksin itu dibangunkan secara bersama oleh institut penyelidikan Gamaleya dan Dana Pelaburan Langsung Rusia.
Sehingga kini vaksin berkenaan sudah diuji terhadap 76 sukarelawan di dua institusi – Universiti Sechenov di Moscow dan Hospital Tentera Burdenko di Kementerian Pertahanan.- Bernama