
MIRI: Sebuah kilang pembuatan papan lapis di Jalan Lusut, Taman Tunku, musnah terbakar sekitar 2.00 pagi tadi.
Kebakaran melibatkan seluruh bangunan dan berhasil dikendalikan pada 3.35 pagi setelah operasi pemadaman yang dilakukan oleh anggota dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri, Lopeng, dan Lutong.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Sarawak, pihaknya telah terima panggilan kejadian pada 2.12 pagi kerah anggota ke lokasi sejauh 15 kilometer dari balai.


BOMBA berusaha memadam kebakaran. Foto BOMBA
“Komander operasi maklum, kebakaran melibatkan sebuah kilang pembuatan papan lapis struktur jenis kekal telah terbakar anggaran 100 peratus.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan teknik pemadaman terus dan bertahan bagi mengawal dan memadam kebakaran. Tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.
Pegawai Kanan yang hadir di lokasi ialah PKPgB Bonny Martin Saging Mato (Ketua Balai BBP Miri), penyelia pasukan ialah PBKI Abd rahman (BBP Miri), PBKI Rorudi Umas (BBP Lopeng) dan PBKII Awang Arizal (BBP Lutong).

Seramai 22 anggota bomba terbabit dalam operasi itu dengan bantuan tiga jentera FRT dan dua unit EMRS.
Tambahnya, setelah api berjaya dikawal, PKO terus melakukan kerja pemadaman sisa api sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya sebelum bertolak balik ke balai masing-masing.
Pihak polis (PDRM) dan Syarikat Sesco turut berada di lokasi. Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Adum Liu