KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Muda Holdings Bhd, Federal Packages Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian jual dan beli saham untuk mengambilalih 60 peratus kepentingan dalam Quantum Total Packages Sdn Bhd (QT) dengan nilai RM15 juta.
QT terlibat terutamanya dalam pembuatan/pengeluaran dan penjualan karton dan papan beralun.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Muda Holdings berkata pengambilalihan itu merangkumi 900,000 saham biasa daripada dua ahli perniagaan iaitu Lee Joo Keat dan Yu Shan Nee.
Ia berkata pengambilalihan itu akan memudahkan hasrat syarikat untuk mengembangkan lagi industri karton beralunnya serta meningkatkan penggunaan kertas gred perindustrian syarikat.
“Pertimbangan pembelian dibuat berdasarkan persetujuan kedua-dua belah pihak iaitu pembeli dan penjual dan berasaskan kepada aset bersih QT yang telah diaudit iaitu RM12.6 juta setakat 31 Dis, 2019 dan unjuran keuntungan lima tahun QT sebanyak RM15 juta,” katanya.
Muda Holdings berkata selepas pengambilalihan itu, kedua-dua ahli perniagaan berkenaan akan kekal sebagai pemegang saham dengan agregat 600,000 saham biasa dalam QT, mewakili 40 peratus modal saham terbitan dan berbayar QT. – Bernama