Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Eksklusif: Anak muda Petra Jaya buka bengkel motosikal dari rumah
  • INSPIRASI

Eksklusif: Anak muda Petra Jaya buka bengkel motosikal dari rumah

Utusan Sarawak 1 day ago

JIWA KENTAL… Anak muda berjiwa kental, Mohd Eksan Bujang, menawarkan perkhidmatan terus ke rumah, baik pulih dan modifikasi motosikal pelanggan di bengkel miliknya yang beroperasi di kawasan kediaman sejak lima tahun lalu.


PETRA JAYA:
Bermula hanya dengan sebiji pemutar skru dan minat membara sejak umur 15 tahun, Mohd Eksan Bujang kini berjaya membuka sebuah bengkel motosikal lengkap dari rumah sendiri di Taman Sourabaya Indah dan hasil tangan anak muda ini bukan calang-calang, siap boleh ‘custom’ dan ‘modified’ ikut selera pelanggan!

Sudah lima tahun beliau mengendalikan bengkel tersebut, dan siapa sangka kawasan tepi rumahnya yang dulunya kosong kini berubah menjadi ruang kerja penuh peralatan khas termasuk ‘special tool’ yang biasanya hanya ada di bengkel profesional.

“Saya mula dari bawah saja, tapi saya nak orang kenal saya dulu. Bila pelanggan dah percaya, baru saya fikir pasal buka bengkel tetap yang lebih strategik,” katanya sambil tersenyum.

Servis yang ditawarkan bukan setakat baik pulih enjin semata-mata. Beliau juga mahir dalam kerja-kerja modifikasi, ‘custom body’, dan paling menarik, servis panggilan ke rumah pelanggan. Motor rosak tak boleh start? Jangan risau, Eksan sampai depan rumah!

“Kadang-kadang pelanggan segan nak tolak motor rosak ke bengkel. Jadi saya datang ke rumah, senang,” ujarnya.

Antara kemahiran utamanya ialah modifikasi enjin 4 lejang dan sistem ‘fuel injection’, siap dengan ‘tuning’ pakai alat canggih sejajar dengan teknologi motosikal masa kini.

JIWA KENTAL… Anak muda berjiwa kental, Mohd Eksan Bujang, menawarkan perkhidmatan terus ke rumah, baik pulih dan modifikasi motosikal pelanggan di bengkel miliknya yang beroperasi di kawasan kediaman sejak lima tahun lalu.



Namun begitu, bukan semua laluan semudah jalan lurus serta cabaran tetap ada antaranya aduan jiran kerana bunyi bising, dan ruang simpanan motosikal yang terhad serta tidak berbumbung.

“Saya cuba jaga waktu kerja. Kalau boleh elak guna mesin waktu malam. Kita pun nak jaga hubungan baik dengan jiran,” katanya dengan nada hormat.

Untuk pemasaran pula, Eksan bukan calang-calang. Beliau bijak menggunakan TikTok dan Facebook untuk mempamerkan hasil kerjanya. Ramai pelanggan dari taman perumahan sendiri, dan ramai juga dari luar kawasan yang datang setelah melihat hasil kerja di media sosial.

“Saya bukan viral pun, tapi alhamdulillah… Orang nampak hasil kerja kita, mereka datang sendiri,” katanya merendah diri.

Keluarga dan jiran tetangga juga banyak menyokong usahanya. Malah beliau sering berkongsi ilmu dan bertukar pandangan dengan rakan-rakan dari bengkel lain.

JIWA KENTAL… Anak muda berjiwa kental, Mohd Eksan Bujang, menawarkan perkhidmatan terus ke rumah, baik pulih dan modifikasi motosikal pelanggan di bengkel miliknya yang beroperasi di kawasan kediaman sejak lima tahun lalu.
 
 



“Setakat ini belum ada kerjasama dengan mana-mana agensi latihan, tapi kalau ada peluang, saya memang terbuka,” jelasnya.

Eksan kini dalam perancangan untuk membuka bengkel rasmi di kawasan yang sama bagi memudahkan pelanggan tetap.

Impiannya dalam lima tahun akan datang cukup jelas iaitu membuka bengkel lebih besar dan membantu anak-anak muda yang minat bidang automotif.

“Saya nak bagi peluang kerja kepada budak-budak muda. Tak semua nak kerja ofis, kan? Kalau minat motor, kita ajar sampai pandai,” tambahnya.

Ditanya apakah momen paling menggembirakan sepanjang berniaga dari rumah, jawabnya ringkas, “Bila pelanggan datang dari jauh, lepas tu jadi kawan. Dari tak kenal jadi rapat. Itulah rezeki sebenar.”

Sebagai pesanan kepada anak-anak muda lain yang ingin membuka bengkel dari rumah, Eksan beri nasihat yang cukup bernas, “Tak ada bengkel besar pun tak apa. Mula dengan alatan asas, pergi belajar kat bengkel lain, jangan malu. Lama-lama, orang akan kenal hasil kerja kita.”

Oleh Shikin Mahmud

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Kawan paksa cuba, Awangku Iqbal cipta empayar Barbershop
Next: Temu ramah eksklusif: Dr. Anna Sue, dari dunia akademik ke pentas warisan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.