
SARATOK: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kru kapal warga Myanmar yang hilang selepas terjatuh dari kapal Moi Soon 2 di kawasan Wharf Batu, Sungai Krian dekat Pekan Saratok pagi tadi masih belum menemui sebarang petunjuk sehingga lewat petang tadi.
Mangsa dikenali sebagai Thu Htoo Aung, 20, dilaporkan terjatuh ke dalam sungai sekitar 9.30 pagi ketika sedang melakukan kerja penyelenggaraan di atas kapal.
Menurut rakan sekerja, mangsa tidak timbul ke permukaan sejurus jatuh dan gagal dikesan meskipun usaha awal dilakukan oleh kru kapal lain.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Gerakan Operasi (PGO), memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan seawal 11.00 pagi.
Pencarian dilakukan menggunakan kaedah pengesanan di permukaan air dengan bantuan bot bomba, meliputi kawasan radius 200 meter ke hulu dan hilir dari lokasi kejadian.
“Operasi ditangguhkan pada 5.00 petang kerana tiada petunjuk baharu, dan akan disambung semula pagi esok dengan kekuatan anggota yang sama,” kata kenyataan itu.
Misi SAR membabitkan tujuh anggota bomba, enam anggota polis, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dua kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa hanya memakai seluar panjang berwarna coklat dan kasut getah pendek, tanpa berbaju, menjadikan pencarian lebih mencabar kerana tiada objek terapung yang dapat dikesan.
Oleh Adi Safarman