Latihan keselamatan kenderaan sel bahan api hidrogen

Facebook
WhatsApp
PESERTA bergambar dengan sijil masing-masing selepas tamat latihan.

KUCHING: Sarawak Skills menganjurkan Latihan Keselamatan & Kesedaran Kenderaan Sel Bahan Api Hidrogen sebagai langkah penting menyokong agenda ekonomi hijau kerajaan Sarawak.

Latihan berfokuskan teknologi kenderaan sel bahan api hidrogen itu bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran peserta terhadap standard keselamatan serta amalan pengendalian yang betul.

KOMPONEN enjin kenderaan berkuasa hidrogen dipamerkan semasa latihan.

Pengarah Eksekutif Sarawak Skills, Hallman Sabri berkata pusat itu merupakan satu-satunya di peringkat negeri dan kebangsaan yang menawarkan latihan khusus hidrogen, malah kumpulan pertama peserta turut datang dari Semenanjung Malaysia.

“Latihan ini bukan sahaja seiring aspirasi hijau kerajaan tetapi juga memberi kemahiran kepada bakat tempatan untuk menceburi ekonomi hidrogen,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini. 

Inisiatif tersebut turut diperkukuh melalui kerjasama strategik dengan rakan di China yang membolehkan Sarawak Skills mengakses modul latihan, teknologi dan kepakaran hidrogen bertaraf antarabangsa.

DEMONSTRASI praktikal menggunakan kenderaan berkuasa hidrogen diadakan untuk peserta.

Sarawak kini menerajui peralihan tenaga hijau negara dengan pelbagai inisiatif hidrogen termasuk Projek Bas Hidrogen serta pembinaan loji pengeluaran hidrogen dan stesen isian semula pertama di negeri ini.

Sarawak Skills dijangka terus memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja mahir bagi menyokong projek tersebut sekali gus membangunkan ekonomi hidrogen yang mampan di negeri ini.