
KUCHING: Program Tarian Rakyat sempena Festival Kuching 2025 akan berlangsung pada 10 Ogos 2025, 7.00 malam di Stadium Hoki Sarawak.
Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Zaiedi Suhaili, yang mewakili Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata program tarian rakyat ini juga merupakan sebahagian daripada Program Penuaan Aktif MBKS, satu inisiatif penting bagi menggalakkan gaya hidup aktif, sihat dan berhubung dalam kalangan warga emas.
“Melalui tarian, kami bukan sahaja menawarkan aktiviti fizikal malah turut menyediakan peluang untuk kesejahteraan mental, persahabatan dan penyertaan yang penuh kegembiraan,” katanya pada sidang media Festival Tarian Rakyat 2025 di Bangunan MBKS, hari ini.
Program Tarian Rakyat ini telah dianjurkan lebih 30 tahun dan telah berkembang menjadi acara ikonik yang bukan sahaja memelihara tradisi budaya, malah mengukuhkan jalinan masyarakat bandar.
“Tahun ini, kami berbesar hati menerima penyertaan seramai 623 peserta daripada 27 kumpulan dari Kuching dan lapan kumpulan dari luar Kuching,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan keyakinannya bahawa tarian merupakan salah satu cara paling indah untuk kekal aktif dan terlibat, terutamanya dalam kalangan warga emas, suri rumah serta mereka yang mencari aktiviti bermakna dan menyeronokkan.
Oleh Amanda L.