

BOT tunda bersama kru ditahan APMM Zon Maritim Bintulu di perairan Bintulu, semalam kerana disyaki menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran. Foto APMM
BINTULU: Sebuah bot tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu di perairan Bintulu petang semalam kerana dipercayai menggajikan warga asing tanpa kebenaran.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Keptan Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot tersebut ditahan pada 1.50 petang di kedudukan 4.6 batu nautika barat laut Kuala Sungai Kemena menerusi OP Tiris 3.0 dan OP Permai 01/2019.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot dikendalikan oleh dua kru termasuk seorang nakhoda warga tempatan dan seorang kru warga Indonesia berusia antara 23 hingga 42 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, bot itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 474(2) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu melanggar syarat sah lesen dengan menggunakan kru warga asing untuk menangkap ikan.
Jika sabit kesalahan, katanya, pemilik atau pengendali bot boleh dikenakan denda atau kompaun.
“Bot bersama kru ditahan sebelum diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan komuniti maritim agar mematuhi undang-undang dan prosedur keselamatan di laut bagi mengelakkan insiden tidak diingini.
Sebarang maklumat, aduan atau kecemasan di laut boleh dilaporkan menerusi talian 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di 086-314 254 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544 untuk maklum balas segera.
Oleh Carolyne Utih