
KUCHING: Pengguna di sekitar Bandar Baru Samariang hingga kawasan Kampung Buntal dan Bako-Muara kini mengalami gangguan bekalan air berikutan kerja-kerja pembaikan paip utama yang sedang dijalankan di kawasan Taman Heng Guan, Matang.
Menurut kenyataan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Kuching, kerja baik pulih ini sedang dilakukan oleh Sarawak Water Sdn. Bhd. (SWSB), yang dahulunya dikenali sebagai Lembaga Air Kuching.
Paip utama di bawah seliaan SWSB ini merupakan sumber utama bekalan air kepada JBALB sebelum disalurkan kepada para pengguna.
Gangguan ini dijangka berlanjutan sehingga kerja pembaikan selesai sepenuhnya. Pengguna disarankan untuk menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini bagi memastikan bekalan sementara mencukupi.
Sebagai langkah segera, JBALB Bahagian Kuching telah menghantar bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan yang terjejas bagi mengurangkan impak kepada pengguna.
JBALB memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi oleh para pengguna dan menasihatkan mereka yang mempunyai sebarang aduan atau pertanyaan untuk menghubungi JBALB Call Centre di talian 082-262211.
Perkembangan lanjut berhubung isu ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi laman Facebook rasmi JBALB Sarawak dan Rakan JBALB Bahagian Kuching.