
KUCHING: Satu insiden kebakaran melibatkan sebuah kilang milik TWA Logistik Handling Sdn. Bhd. di Muara Tabuan Light Industries Park, Jalan Setia Raja, telah berlaku pagi ini, mengakibatkan sebahagian besar struktur bangunan musnah dalam kejadian tersebut.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada 10.48 pagi, sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya di sini tiba di lokasi kejadian pada 10.53 pagi, sekitar lima minit kemudian. Jarak antara balai dan lokasi kebakaran dianggarkan sejauh tiga kilometer.

Kebakaran dilaporkan bermula daripada beberapa kontena yang dijadikan rumah sementara pekerja sebelum merebak ke bahagian belakang kilang BS.
Struktur yang terbakar berkeluasan 100×100 kaki persegi dan dianggarkan 60 peratus musnah terbakar.
Komander Operasi Kanan, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Tiong Ling Hii, yang juga Timbalan Pengarah Bomba Negeri, memaklumkan bahawa pasukan bomba kini masih giat menjalankan operasi pemadaman dari dua arah kilang serta melakukan taktik pemecahan kebakaran (firebreak) di bahagian belakang premis bagi mengawal api daripada terus merebak.
“Operasi pemadaman berdepan cabaran besar kerana struktur kilang diperbuat daripada dinding zink setinggi dua tingkat yang menyukarkan akses masuk ke dalam premis,” katanya.
Katanya, seramai 36 anggota bomba dari tiga balai – BBP Tabuan Jaya, BBP Padungan dan BBP Batu Lintang terlibat dalam operasi tersebut, dibantu oleh tiga FRT, 1 CFRT, 1 tangki air, 1 EMRS, dan 1 Hilux.
Agensi lain yang turut memberi bantuan di lokasi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SESCO.
Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan, dan pihak bomba masih berada di lokasi bagi mengawal sepenuhnya kebakaran. Masa operasi tamat belum dapat dipastikan ketika ini.