
SARATOK: Majlis Daerah Saratok terus melangkah ke hadapan dalam memperkasakan aspek kebersihan awam apabila terpilih menyertai Kempen Kesihatan Persekitaran anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2025, menerusi Kempen Tandas Awam Bersih ‘BMW’ (Bersih, Menawan, Wangi).
Kempen yang bermula pada 1 Jun hingga 31 Julai lalu ini dilaksanakan di Tandas Awam Jalan Minggat, Saratok, sebagai lokasi tumpuan dan simbolik komitmen pihak berkuasa tempatan terhadap kebersihan serta kesejahteraan awam.
Majlis perasmian kempen tersebut telah disempurnakan oleh Setiausaha Majlis Daerah Saratok, McCrea Joseph Pererra, dalam satu majlis ringkas namun bermakna yang turut dihadiri oleh warga kerja Majlis, penduduk setempat serta beberapa agensi berkaitan.
Menurut McCrea, pemilihan Majlis Daerah Saratok dalam kempen ini membuktikan kepercayaan KPKT terhadap kemampuan dan komitmen Majlis dalam menyediakan kemudahan awam yang berkualiti kepada masyarakat.
“Objektif utama kempen ini adalah untuk meningkatkan tahap kebersihan dan kefungsian tandas awam di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agar mencapai penarafan empat bintang dan ke atas,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif ini juga bertujuan mewujudkan tandas awam yang bukan sahaja bersih, tetapi menawan dan wangi, sekali gus memberi keselesaan dan keselamatan optimum kepada para pengguna.
Kempen ini katanya turut menekankan pembudayaan amalan penggunaan tandas yang betul dan bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat, di samping mendidik orang ramai agar lebih menghargai kemudahan awam yang disediakan.
Oleh Adi Safarman