
SIBU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sibu dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Taman Rajang masing-masing dinobatkan sebagai johan keseluruhan bagi kategori sekolah menengah dan sekolah rendah dalam Pertandingan Trafik (STG) Edisi Sibu 2025.
Pertandingan selama dua hari yang berakhir semalam itu disertai lima sekolah menengah dan sembilan sekolah rendah dari sekitar Sibu dengan objektif utama untuk memupuk kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar sejak peringkat awal.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Bagi kategori sekolah menengah, SMK Bandar Sibu mengetepikan saingan terdekatnya, SMK Methodist yang muncul naib johan, manakala tempat ketiga dimenangi SMK Tung Hua.
SMK Chung Hua dan SMK Sungai Merah pula masing-masing berada di tempat keempat dan kelima.
Sementara itu, dalam kategori sekolah rendah, dominasi jelas ditampilkan SJKC Taman Rajang apabila dua pasukannya, Team B dan Team A, menduduki tempat pertama dan kedua, diikuti SJKC Tung Hua di tempat ketiga.
SK Perbandaran Sibu No. 4 dan SK St. Mary melengkapkan kedudukan lima terbaik.
Selain pertandingan utama, beberapa anugerah khas turut dipertandingkan sebagai penghargaan kepada peserta yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam aspek tertentu.
Bagi kategori sekolah menengah, Esther Sim En Ci dari SMK Bandar Sibu memenangi Anugerah Prestasi Terbaik Kuiz Dalam Talian, manakala Jayden Chua Jie Hong dari SMK Tung Hua dinobatkan sebagai Penjalan Kaki Terbaik.
Dua lagi anugerah iaitu Penunggang Basikal Terbaik dan Pemandu Kereta Pedal Terbaik masing-masing dimenangi Andrian Thien Qi Wen dan Adriel Wagner Nyandang, kedua-duanya dari SMK Bandar Sibu.
Bagi kategori sekolah rendah, Izz Ayesha Sulaiman dari SJKC Taman Rajang (Team B) memenangi Anugerah Prestasi Terbaik Kuiz Dalam Talian, manakala Elfred Chua Jie Ming dari SJKC Tung Hua diumumkan sebagai Penjalan Kaki Terbaik.
Katie Chia Ke Qing dan Ting Kee Juong, kedua-duanya dari SJKC Taman Rajang (Team A), masing-masing membawa pulang anugerah Penunggang Basikal Terbaik dan Pemandu Kereta Pedal Terbaik.
STG merupakan antara platform pendidikan keselamatan jalan raya berasaskan simulasi yang diterajui oleh Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Oleh Tarani Lanting